Malaysia dan Indonesia seharusnya menimbang sejarah silam, meneliti percaturan geo politik dunia semasa dan menghargai kesejahteraan masa depan bersama. Setiap pergeseran memainkan peranan jelek apabila mengapikan sentimen puak dan patriotisme sempit. Sejarah menunjukkan dan mengingatkan bahawa sering tekanan ekonomi dan kemelesetan pembangunan membawa bahaya krisis dan permusuhan terutama jika tiada kepimpinan yang celik, berhikmah dan berwawasan.
Kita harus belajar daripada ketandusan kebijaksanaan politik serta kehilangan integriti siasah pimpinan Islam di Afghanistan, Pakistan dan Iraq yang menghasilkan penjajahan semula.
Di bawah dipetik secebis memoir pengalaman ayah sewaktu hubungan getir di antara kedua negara:-
----------------------------------------------------------------------------------------
Konfrontasi dan Kedamaian
Pengisytiharan penubuhan Persekutuan Malaysia yang menggabungkan Sabah dan Sarawak pada 1963 ditentang hebat oleh Indonesia. Pungutan suara yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Cobbold telah ditolak bulat-bulat oleh Sokarno, Presiden Republik Indonesia. Dia berikrar akan menghancurkan Persekutuan Malaysia yang baru ini, seraya mengulangi kata-kata masyhurnya – ganyang Malaysia. Kepetahan pidato Bung Sokarno memang berapi dan acumannya membara. Bermulalah Konfrontasi, berantakan di antara Indonesia dan Malaysia mempertarungkan angkatan bersenjata dan pasukan keselamatan beradu sesama dua jiran yang mempunyai satu rumpun, kebudayaan yang seiras dan latar etnik, agama serta bahasa yang serupa. Negara-negara Barat seperti UK dan US menyokong Malaysia sementara golongan kiri dan para revolusioner mendokong Indonesia. Konflik ini mencerminkan suasana politik orde dunia era itu dan mungkin sebahagian lagi rangkaian persengketaan berdarah secara proksi Perang Dingin di antara Blok Barat dan Blok Timur.
Konfrontasi Indonesia adalah perang secara pergeseran, pelumpuhan, penyusupan, pemberontakan berdalang asing, serbuan komando, pencerobohan merentasi sempadan dan pengintipan. Konfrontasi adalah perang berlaku yang tanpa pengiystiharan. Medan utama pertempuran adalah di Malaysia Timur. Tentera dan perisekan British terlibat secara langsung beserta askar-askar Australia dan New Zealand sejajar dengan perjanjian pertahanan bersama di kalangan anggota negara-negara Komanwel serantau.
Bapa saya telah dihantar menyertai misi ke Sabah dan dia telah berpengkalan di Tawau. Tidak banyak yang dapat diingatkan kembali tentang pengalamannya walaupun dia berkhidmat di sana berbulan-bulan lamanya sepanjang konflik berkenaan di Sabah. Ada yang diceritakannya tentang operasi risekan dan kegiatan rahsia yang dijalankan bagi menggagalkan penyusupan askar Indonesia. Pada suatu operasi, lokasi pencerobohan mendadak Indonesia telah dikenalpasti. Pendaratan mereka diperhati dan tentera Indonesia telah digempur dan dimusnahkan oleh pasukan keselamatan Malaysia bersama askar sekutu mereka. Penyusup-penyusup Indonesia yang terselamat diberkas.
Penyusupan Indonesia dan percubaan mereka untuk mencetuskan pemberontakan dalaman telah gagal. Apa yang mungkin mereka mengharapkan adalah supaya berlaku kebangkitan oleh penduduk tempatan dan sebab itu agen-agen Indonesia cuba menghubungi, membina rangkaian dan mencetuskan pemberontakan. Secara militernya mereka tidak punya harapan samasekali. Ramai para pejuang Indonesia yang terkorban. Banyak juga yang ditangkap dan dipenjara. Mereka tidak memperolehi sokongan tempatan. Lantas, idea gagasan Indonesia Raya telah terbenam di Malaysia Timur.
Perang propaganda yang dimainkan bertalu-talu melalui kacamata TV, radio dan tayangan wayang di padang-padang terbuka amat hangat dan kedua-dua pihak menyiarkan keburukan dan kekejaman di antara satu sama lain. Suasana kecurigaan memenuhi minda sehinggakan orang Melayu yang berketurunan Jawa, Bawean, Rawa and Sumatra asalnya di pandang serong dan puak-puak ekstrem secara tidak adil menuduh mereka sebagai musuh dalam selimut. Begitulah keadaan dan pemandangan peristiwa-peristiwa yang malang yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang ramai, kecederaan dan penderitaan serta merosakkan banyak harta benda yang mungkin juga suatu punca Indonesia mengalami kerugian secara ekonomi dan sosial kemudiannya. Malaysia juga menderita dan ini menambahkan lagi kebimbangannya tentang keselamatan dan ketenteraman negara menghadapi ancaman luar dan dalam negara.
Peristiwa-peristiwa ini membuatkan bapa sibuk dengan tugasnya, sentiasa berada jauh dan ibu bersendirian menangani ketiadaannya apabila dia berkhidmat di Sabah atau di tempat-tempat lain. Ibu terpaksa menjaga kesemua empat orang kami yang masih kecil dan bersekolah. Dia akan menunjukkan kepada kami gambar-gambar poskad Tawau dan tempat-tempat lain di Sabah termasuk juga gambar-gambar bapa di sana. Pada kami yang masih kecil, pemandang jauh ini menarik dan mengkagumkan. Kami akan menjadi asyik dengan gambar-gambar ini walaupun ia hanya bercorak hitam putih. Ibu terus teguh berusaha, memastikan kami bersama, menentukan kami cukup makan minum dan sihat sepanjang hari-hari yang kesunyian tanpa bapa berada bersama kami. Ibu menjadi tempat bergantung yang kukuh walaupun di kala kesepian itu dan dia tidak pernah berputus asa.
Beberapa tahun kemudian pada 1969, bapa telah berpeluang untuk berada bersama pasukan keselamatan bagi mengawal melindungi rombongan Menteri Luar Indonesia waktu itu, Adam Malik. Dia datang untuk menziarahi saudara maranya di Chemor, Perak. Adam Malik dilaporkan sebagai bertanggungjawab berperanan mencari jalan penyelesaian secara rundingan bagi menamatkan Konfrontasi dan mengakhiri konflik yang pahit dan merugikan itu. Usahanya dilihat sebagai sangat penting bagi mencapai kedamaian. Lawatannya bagi menziarah saudara kesayangan di Chemor dipandang sebagai lambang yang simbolik talian erat dan persefahaman yang akrab di antara kedua buah negara. Ia mengisyaratkan bahawa ketegangan itu telah berlalu. Bapa saya selalu mengenangkan tugasnya pada ketika itu sebagai sumbangannya yang kecil tetapi penuh bermakna kepada perdamaian.
Bapa saya telah berlalu dan berubah daripada seorang yang berjuang menentang penceroboh Indonesia kepada mengawal dan melindungi seorang pemimpin keamanan dari negara yang terpuji itu. Semoga tiada lagi pertikaian sesama negara kita buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment