Tuesday, January 22, 2013

Cinta di antara Dua Garisan



Baru-baru ini anak saya yang memang memandang sangat tinggi tokoh agamawan membawa satu status FB seorang tokoh. Anak saya menjadi rakan FBnya setelah mengikuti kuliah tokoh berkenaan. Status itu amat mengecewakan kerana tokoh berkenaan menyindir secara bersahaja tetapi kesat sekaligus menghampiri kelakuan Qazaf. Saya menasihati anak saya untuk tidak lagi menjadi rakan FB tokoh itu. Sudah tiada lagi manfaatnya persahabatan FB itu, malah tiada apa yang boleh diperolehi daripada seorang yang kesaksiannya diragui kecuali bersubahat dalam fitnah.

Sindiran yang dimaksudkan itu dituju kepada siapa lagi, tidak lain dan tidak bukan, Anwar Ibrahim.

Serangan-serangan peribadi oleh askar-askar maya upahan dan gerombolan regim korup memang bertubi-tubi tetapi asakan-asakan jahat ini berada pada apa yang dikatakan garisan bawah. Serangan di garisan bawah termasuklah celaan-celaan Datuk T, Utusan, TV3, BTN, ahli politik celupar, pencacai-pencacai serta seluruh jentera yang beroperasi di ruang legar cemuhan, lucah dan melanggar had Qazaf.

Pemain-pemainnya telah bergelumang dalam kegiatan fitnah hina ini sejak rancangan besar-besaran menjatuhkan Anwar pada 1998 (sudah lebih 14 tahun lamanya fitnah ini) dan masih belum nampak titik noktah atau wakafnya. Keputusan-keputusan mahkamah di pihak Anwar dan nasihat teguran ulama, tuan-tuan guru, tokoh dan pencinta keadilan terutama kebangkitan rakyat seluruh lapisan dan spektrum, tidak dihirau langsung. Malah rekacipta dan rekayasa baru memburuk-burukkannya berjalan sehingga kini dengan talk-show serta menyebarkan CD, video, cetakan kilat dan segala macam aneka tebaran naba fasiq. Garisan bawah ini jelas kefasikannya dan dikutuk oleh rakyat yang telah mual dengan kelakuan tidak senonoh kecualilah oleh para pengamalnya dan sidang wartawan yang masih belum sedar akibat rasukan kebencian.

Apa kesalahan Anwar Ibrahim? Mungkin kerana dia mempunyai kebingkasan dan ketangkasan untuk kembali pulih walaupun dijatuhkan (what management terms as resilience – the ability to bounce back from adversity).

Demikianlah fitnah dan serangan peribadi garisan bawah yang jelas bejat dan langsung tidak bermoral. Bagaimana pula mereka yang menyerang dan berada pada garisan atas? Mereka ini pula terdiri daripada bekas kenalan dan rakan-rakan serta tokoh-tokoh yang ternama. Ada juga bekas-bekas rakan sahabat seperjuangan. Ada yang membela penuduh fitnah dengan berhujah tuduhan liwat bukan kategori jenayah Qazaf. Padahal penuduh-penuduh bukan pergi ke mahkamah tetapi menggunakan semua saluran media, ruang awam hingga mencemarkan masjid-masjid dengan sumpah seranah, menerangkan tanpa rasa malu atau hormat dengan butiran yang keji dan terperinci perilaku terkutuk yang tidak sepatutnya sampai kepada rakyat awam tua, muda, keluarga dan kanak-kanak. Inilah bencana fitnah dan dosa qazaf.

Mereka gagal melihat atau sengaja tidak mahu memikirkan keseluruhan permasalahan adalah persoalan keutuhan Shariah Islam, tentang hak dan batil, kebenaran dan keadilan bertentangan dengan kezaliman dan maruah umat serta kedudukan Islam di kedudukan moral yang tinggi. Kezaliman itu berbentuk fasad yang dibiarkan dan meracuni segala tindakan. Hujah-hujah tidak kurang fanatiknya sehingga mempertikaikan aqidah dan iktikad dengan mengetengahkan isu pluralisme, Kristianisasi dan liberalisme pada hal latar politik telah mewarnai setiap perbuatan mereka. Penganjuran pula ditaja regim korup yang berkepentingan. Memang tiada masalah demi keprihatinan dan pembelaan umat tetapi fokus terlalu jelas kepada character assasination -  menyerang kredibiliti serta peribadi.

Ada yang tergelincir dan terlajak juga ditelan perasaan dengan menyerang pada garisan atas dan juga pada garisan bawah – yakni membela agama dan pada masa yang sama melakukan kesalahan Qazaf. Ada yang menghilai dan menibai tak tentu hala sebaik saja tamat solat Jumaat di Masjid Negara padahal seruan khatib agar berlaku adil, berbuat ihsan, menjaga talian persaudaraan dan menjauhi fahsyar dan mungkar. Maka terjerumuslah mereka tergolong bersama Datuk T dan seangkatannya yang terdiri daripada mereka yang rakyat tahu dan kenali sebagai orang-orang mempunyai akhlak yang amat keji.

Anak saya akan sentiasa bertanyakan soalan yang sama dan begitulah teman-teman dan orang awam juga akan menyoalkannya. Kenapa mereka jadi begitu? Seorang ustaz dan tokoh akademik serta aktivis lama gerakan Islam ada memberikan pendapatnya tentang fenomena ini pada 2012. Dia berkata, “Mereka menyayangi parti korup itu lebih daripada daripada idealisme perjuangan.” Ini bukan pertama kali sahabat berpaling tadah. Pada 1998, masih segar dalam ingatan, seorang rakan yang menyerang peribadi Anwar (sewaktu Anwar merengkok di penjara dan setelah tersebar berita Anwar dipukul),  berkata di kaca TV, “bukan saya tidak sayangi sahabat saya itu, tetapi saya cintai parti ini lebih lagi.”