Kenapa Chin Peng tidak boleh kembali ke tanah air
Keadaan Darurat sebenarnya dialami oleh orang-orang kampung lebih awal lagi daripada pengisytiharan rasmi British pada tahun 1948. Orang kampung telah terpaksa berdepan dengan pengganas komunis di bawah panji-panji MPAJA lebih terdahulu daripada yang dialami peladang-peladang British. Hanya dokumentasi pengalaman dan peristiwa ini belum dirakamkan sepenuhnya.
Mereka lebih kenali gelagat dan kezaliman teroris komunis ini (di gelar CT's oleh pihak Inggeris) sewaktu anggota komunis menjadi sekutu British menentang Jepun atas nama MPAJA. Setiausaha Agong Parti Komunis Malaya (jelmaan MPAJA) sebelum Chin Peng, bernama Lai Tek merupakan agen risekan bermuka dua (double agent) bagi Jepun dan British. Parti Komunis Malaya pula sarat dengan penyusupan serta komplot (intrigue) sepanjang sejarahnya.
Berikut secebis memoir ayah pada waktu darurat dan cemas itu:-
------------------------------------------------------------------
Bintang Tiga Bermaharajalela
Bapa tidak mahu mengambil sebarang risiko dan bertarung nasib. Dia menanamkan segala benda-benda Jepun yang ada padanya. Ini termasuklah dokumen-dokumen serta sebilah pedang Jepun yang bernilai. Kami hanya mengetahui tentang kewujudan gambarnya dalam pakaian seragam askar Jepun dan pingat-pingat kebaktian yang merupakan kenangan masa itu.
Dia bergegas menuju jalan balik ke kampung. Perjalanannya sangat jauh pada ketika itu kerana sistem pengangkutan masih belum pulih dalam keadaan baru lepas perang. Dia terpaksa mengharungi dan berjalankaki melalui jarak-jarak yang jauh serta di atas jalan-jalan yang diluluhawa.
Kampung pusaka kami adalah Lambor Kanan yang berada di tebing Sungai Perak. Lambor Kanan termasyhur kerana kisah legenda berkisar Ikan Tapah (nama saintifik: Wallago attu). Orang tua-tua telah berkata dan ramai juga masih percaya bahawa anak cucu keturunan Lambor Kanan ditegah daripada memakan Ikan Tapah dan jika mereka melanggar larangan ini akan ditimpa penyakit alahan.
Cerita-cerita turun temurun orang tua-tua dan generasi sinambungannya meriwayatkan tentang nasib Pak Kadok dan bagaimana dia diselamatkan bagi menebuskan kembali kampungnya apabila terjumpa ikan ini. Kita tinggalkan saja kisah dongeng yang aneh lagi ganjil ini kepada para saudagar misteri.
Lambor Kanan juga terkenal dengan loghat percakapan Melayu yang unik dengan cara sebutannya dan di kalangan banyak loghat Melayu kadangkala bunyinya agak melucukan.
Lambor Kanan juga dikenangi oleh ramai pada zaman itu dan juga masih diingati oleh beberapa orang sekarang sebagai tempat munculnya para pahlawan yang gagah dan pejuang yang garang. Telah disampaikan dari mulut ke mulut bahawa sejurus selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 dan dalam suasana tanpa undang-undang serta ketenteraman, telah tercetus peristiwa berdarah pertempuran sengit dan terbuka di antara orang kampung dan pengganas samseng-samseng MPAJA.
Begitulah keadaannya apabila bapa saya menuju balik ke Lambor Kanan. Waktu itu telah terasa ketegangan yang hebat walaupun suasana semacam diselubungi ketenangan yang memperdayakan. Secara senyap dan melalui pergerakan rahsia, ketua-ketua kampung, guru-guru agama dan bakal-bakal pemimpin masyarakat berjumpa, berstrategi, merancang dan menyebarkan pesanan tentang suatu kebangkitan yang akan datang. Mereka berazam untuk mengangkat senjata bagi menumpaskan dan memusnahkan samseng-samseng MPAJA serta membebaskan kesemua kampung-kampung mereka daripada cengkaman keganasan MPAJA. Bagi mereka sudah tiada kesabaran lagi dan telah tersemat di dalam hati mereka bahawa MPAJA adalah sejahat-jahatnya penjenayah yang mengganas, yang menakutkan dan mengancam hidup mereka, keluarga mereka dan cara hidup mereka yang selama ini aman damai.
Sewaktu pendudukan Jepun, kawasan-kawasan yang dikuasai Jepun hanyalah di bandar-bandar dan pekan utama. Kawasan desa dan luar bandar menjadi wilayah penguasaan MPAJA dan sekutu mereka, yang nanti akan muncul sebagai gerila komunis – pengganas komunis atau penyangak (bandit) gelaran media British. MPAJA bergerak bebas melakukan kezaliman dan kekejaman. Apabila tentera Jepun datang menjalankan rondaan dan memasuki kampung-kampung serta kawasan pendalaman, MPAJA melarikan diri untuk berselindung di dalam hutan banat di pinggir kampung-kampung di mana terletak pengkalan-pengkalan yang tersorok. Setelah askar Jepun meninggalkan kawasan itu, maka MPAJA muncul semula dan kembali untuk berkuasa ke atas orang-orang kampung yang berada dalam ketakutan serta tanpa perlindungan.
MPAJA melayani dan mengkasari orang-orang kampung dengan sewenang-wenangnya. Penduduk kampung dalam keadaan yang sungguh gentar dan penuh kebimbangan. MPAJA bertindak ikut kebuasan nafsu mereka, merompak dan merampas sebarang makanan, harta dan barang-barang bernilai dengan memberi alasan bahawa ianya demi “perjuangan”. Anak-anak dara dipandang sebagai pemilikan untuk dikahwinkan oleh lelaki-lelaki ”perjuangan”. Mereka yang disyaki bersubahat dengan Jepun ditembak secara terbuka di khalayak ramai atau dicolek diberkas untuk dibawa ke dalam hutan dan hilang tanpa dijumpai. Ada yang didera dan disiksa kerana melawan atau hanya semata-mata jika disangka sebagai penentang. Individu-individu di kalangan anggota MPAJA juga mengambil kesempatan dengan kuasa cengkaman mereka. Orang-orang Melayu yang menjadi anggota MPAJA atau yang bekerja dengan mereka, tali barut – pengkhianat dan bersubahat, sangat kejam dengan kesombongan dan keangkuhan mereka memeras ugut orang-orang kampung yang lemah dan daif dengan menakut-nakutkan mereka. Keadaaan muram dan getir ini dihadapi dan dirasai di segenap desa ibu pertiwi dan masyarakat yang tertindas ini menyimpan kebencian, perasaan pahit dan bara yang terpendam yang tidak akan mampu dipulihkan atau dipadamkan.
Kezaliman dan kekejaman di tengah-tengah desa pertiwi Melayu ini merupakan satu punca asas bagi mengukuhkan penolakan dan penentangan orang Melayu terhadap pemberontakan komunis. Kefahaman atheist pegangan orang komunis dan penolakan mereka terhadap agama memang bercanggah dan bertentangan dengan jiwa sanubari dan iman orang Melayu-Islam. Itulah sebabnya mereka berada di medan depan perjuangan dan pertarungan serta rela mengorbankan diri bagi mengalahkan dan menewaskan komunis di Tanah Melayu buat selama-lamanya. Tiada sebarang keraguan tentang hakikat ini.
Oleh itu, apabila berita tiba ke kampung-kampung bahawa Jepun telah menyerah kalah dan British pula belum kelihatan lagi, maka mereka bertambah keluh kesah merisaukan tentang pemerintahan MPAJA atau apa dikatakan sebagai Bintang Tiga bermaharajalela. Tempoh kekejaman selama empat belas hari telah bermula.
No comments:
Post a Comment