Thursday, April 28, 2011

Sumpah Seranah bencana ummah


Apabila seorang pemuda melakukan sumpah laknat dengan menggunakan nama Allah serta memegang Al-Quran di dalam masjid di ibu negara bagi meyakinkan bahawa kejadian hina terhadap dirinya memang benar berlaku, sebahagian orang Melayu/Islam menjadi kebingungan dengan sumpah laknat yang dilakukan oleh si penuduh ini.

Apa yang dikatakan permasalahan umat Islam berlegar di antara kedaifan umat dan kelesuan ulama nyata berlaku. Para ahli ulama juga menjadi mangsa keadaan berpolemik dalam memberikan pandangan samada sumpah tersebut sah atau tidak dan adakan ia mengikut tuntutan Islam. Isu pokok dan tunjang kepada keseluruhan permasalahan iaitu pemerataan fasad, penularan korupsi, fitnah jahat dan qazaf tidak ditangani dengan jelas dan tegas.

Maka cabar mencabar pun berlakulah sehingga ke hari ini oleh pelbagai manusia berkepentingan mendesak supaya Anwar bersumpah laknat bagi menafikan bahawa beliau bersalah. Namun Anwar tidak melayannya desakan-desakan tersebut dan menggunakan fatwa pengerusi ulama sedunia Dr Yusuf Al Qardawi serta para mufti tempatan bahawa tiada keperluan untuk Anwar bersumpah.

Melihat kepada komentar dada-dada akhbar mengenai isu ini, jelas menampakkan kejahilan tentang hukum syara’. Tetapi mereka tetap mengajak orang ramai mempercayai kejahilan atau yang lebih tepat digelar propaganda. Lebih malang lagi, apabila ada ulama rasmi – kecuali yang dirahmati oleh Allah swt, yang sepatutnya memimpin dan memandu para pemimpin tersebut dalam perkara agama – hanya mengesahkan sahaja.

Kebangkitan gempar Ustaz Ramlang Porigi untuk membantah secara terbuka dan mendedahkan kebatilan aksi sumpah di Masjid Wilayah satu fenomena mengkagumkan masyarakat. Dia dilaporkan telah dihentikan perkhidmatannya di Masjid berkenaan.

Padahal kita diajar untuk merenung ayat al-Quran, dalam surah al-Mujadalah, ayat 14 hingga 16, di mana Allah swt menceritakan tentang sifat kaum munafiqin yang selalu bersumpah palsu.

Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan. Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.

Terjemahan Al Quran dalam Surah Al Qalam ayat 10 - 14 pula,

Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya),

Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), -

Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi yang amat berdosa, -

Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya.

Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan ugama Kami)?

Menurut Ustazah Fatimah Az-Zahra, kerja bersumpah ini sebenarnya kerja orang munafik. Sebab mereka tahu mereka bohong, demi untuk meyakinkan orang ramai supaya pembohongan mereka diterima, maka mereka pun beriya-iya mahu bersumpah.

Mengikut Imam Syafie, Sumpah adalah makruh berdasarkan Surah Al-Baqarah ayat 224 :- Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai penghalang untuk berbuat kebajikan, bertakwa dan mengadakan islah di antara manusia. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Satu kajian terperinci oleh USIM menyatakan perlaksanaan sumpah dianggap batal sekiranya tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Tidak semua kes-kes boleh dilaksanakan sumpah. Para ulama bersepakat, tidak harus melaksanakan sumpah pada hak-hak Allah SWT semata-mata seperti zina, Qazaf dan lain-lain lagi. Para ulamak bersepakat mengenai pengharusan melaksanakan sumpah dalam kes-kes mal. (rujukan baik tentang amalan sumpah di mahkamah syariah di laman:- http://zulkiflihasan.files.wordpress.com/2008/06/konsep-sumpah-dalam-islam2.pdf

Ini telah ditegaskan oleh fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2008 bahawa sumpah hanya berlaku selepas proses perundangan dan ia hanya ditentukan oleh mahkamah syariah.

Pandangan dan nasihat mantan menteri hal ehwal Islam JPM dan penasihat agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman adalah bernas, jujur dan baik diteladani:-

"Perbuatan bermubahalah (sumpah laknat) adalah bercanggah dengan ajaran Islam terutama jika ia membabitkan unsur-unsur politik."

Beliau berkata, "Sumpah adalah suatu perkara yang tidak boleh dipermain-mainkan dan hanya perlu dilakukan ketika dalam mahkamah membabitkan peruntukan undang-undang atau kanun tertentu."

''Sumpah bukan boleh dibuat sewenang-wenangnya, jika yang bersumpah itu mahu menunjukkan bahawa kalau dia benar-benar bersalah maka akan turun azab daripada Tuhan."

''Tetapi bagaimana pula keadaannya jika orang yang bersumpah itu tidak dikenakan azab (di dunia), adakah itu menunjukkan dia benar-benar tidak bersalah?"

''Sedangkan ajaran Islam hanya mempercayai bahawa azab Allah kepada umat-Nya akan dikenakan di akhirat dan bukannya di dunia," katanya.


No comments:

Post a Comment