Perubahan pada tahap nasional yang semakin jelas riak dan gejolaknya ialah Tarikh 8 Mac 2008 (PRU ke-12) peristiwa penting yang cukup momentous, tidak hanya dalam konteks politik kepartian, tetapi juga dalam konteks perkembangan pola fikir umat dan rakyat. Ia sebagai jelmaan wisdom of the crowd yang berintikan aspirasi perubahan, politik idealisme, kemampuan berfikir dan keberanian bersikap. Ia dapat membangkitkan ghairah dan optimisme baru dakwah pencerdasan dan pencerahan.
Bagi kaum da`i, pemaknaannya harus dengan catatan bahawa misi dakwah tidak terbatas pada perubahan politik dalam erti sekadar pertukaran parti pemerintah. Yang kita perjuangkan adalah misi islahi, perubahan substantif-kualitatif, perubahan yang menepati idealisme pemerintahan yang adil dan beradab, sesuai dengan prinsip dan nilai syari`at.
Kita cuba memahami dan menangani perubahan yang sedang terjadi, dan seterusnya menggagas senario perubahan yang kita inginkan. pemikiran umat telah mulai terkondisi untuk menerima perubahan; malah mereka telah berani menuntut perubahan, termasuk pelayanan yang selayaknya sebagai rakyat yang bermaruah dan berharga diri.
Mereka menolak politik wang dan politik pembodohan. Mereka malu berada di tengah keleluasaan budaya rasuah dan amalan kroni, mereka malu berada di tengah ketempangan sistem kehakiman dan kepolisan, dan mereka malu berada di bawah pimpinan orang lemah. Mereka juga marah terus-menerus diperbodoh.
Krisis Harapan dan Krisis Kepercayaan
Tamatnya era Mahathir dan bermulanya pentadbiran Badawi telah tumbuh segunung harapan perubahan. Era Badawi hanya berisi declaration of intentions, pengumuman demi pengumuman tanpa perubahan yang bererti. Badawi mengakhiri kerjaya politiknya dengan mewariskan krisis harapan dan krisis kepercayaan yang serius. Penggantinyalah yang harus memikul beban warisan di samping beban peribadi yang tidak kurang beratnya .
Krisis yang membelit memang cukup gawat kerana liputannya telah meratai hampir segenap sektor. Institusi kehakiman yang tercemar dengan skandal video Lingam belum dapat memulihkan kredibilitinya. Mereka yang terlibat, termasuk dalang utamanya tetap berleluasa memencak-mencak, mendabik-dabik dada, bercakap besar di sana sini.
Tanpa tumpuan yang secukupnya, ekonomi negara yang memang sedia bermasalah akan menjadi semakin parah. Hingga ke saat ini tidak banyak yang dilakukan untuk memperbaiki kadar petumbuhan ekonomi yang jauh di belakang negara-negara jiran, “
Tidak kurang celarunya adalah bidang pendidikan yang tanpa henti menjadi sasaran kritik dan protes rakyat. Nama kementerian dirubah dari pendidikan kepada pelajaran tanpa justifikasi yang rasional, Falsafah Pendidikan Negara yang kemudian menjadi Falsafah Pendidikan Kebangsaan semakin tidak dipedulikan, protes terhadap PPSMI terus berlarut-larut tanpa pelayanan yang positif, malah digawatkan lagi dengan protes baru terhadap isu wajib lulus bahasa Inggeris dan pembatasan 10 subjek.
Apa yang sedang terjadi adalah krisis kependidikan yang telah menggugat esensi pendidikan sebagai humanizing process atau proses pembinaan dan pengutuhan insan.
Akibat politisasi dan komersialisasi yang berlebihan pendidikan lebih terorientasi ke arah memenuhi keperluan politik dan permintaan pasaran sehingga mengabaikan asas keinsanan. Krisis kependidikan tentunya membawa implikasi besar dalam pelbagai bidang lain, termasuk bidang sosial .Terlalu banyak masalah sosial yang sedang menggejala, terutama yang melibatkan generasi muda .
Bahagian Ketiga sedutan intisari daripada Amanat Pimpinan WADAH
Dato’ Dr Siddiq Fadil
Muktamar Nasional Ketiga Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
No comments:
Post a Comment