Monday, July 11, 2011

Kisah Benar



Setiap kali anak saya kembali dari kelas tuisyen, dia akan mengadu tentang guru tuisyen biologinya. Gurunya agak menebal kefahaman politiknya dan bolehlah dikategorikan sebagai seorang nasionalis totok. Masalahnya adalah pegangannya terbawa-bawa pula ke dalam kelas tuisyen itu. Ini menjadikan ramai anak muridnya berasa resah dan gusar terutama anak saya. Kadangkala, guru ini mengeluarkan pandangan-pandangannya yang kesat dan berbaur fitnah di hadapan kelasnya. Jika ada bangkangan daripada anak muridnya, dia akan tegas menempelak dengan menggunakan autoritinya dan terpaksalah anak-anak muda itu menahan telinga.

Apabila anak saya meminta pandangan saya, saya nasihatkan dia terus hormati gurunya dan saya memberitahunya hasrat saya untuk kemungkinan akan memberikan teguran secara terhormat selepas SPM nanti supaya tidak menimbulkan ketegangan antara guru - murid buat masa ini. Anak saya memahami bahawa dia terpaksa membenci perbuatan seperti itu di dalam hatinya.

Pada hari Ahad yang lepas, anak saya kembali dengan riang gembira. Dia menceritakan bahawa di kelas tuisyennya, gurunya mengambil kesempatan untuk mengutuk Tuan Guru Ustaz Abdul Hadi Awang dengan mengatakan,

"Lihat Ustaz Hadi rela menggadaikan jubahnya untuk memakai T-Shirt Bersih."

Secara spontan pula anak saya mencelah, "Tapi, Cikgu, Najib pun tak pakai jubah!"

Seluruh kelas tuisyen ketawa terbahak-bahak. Guru tuisyen tersipu-sipu dibuatnya.

Itulah sebahagian kisah benar polarisasi hubungan dan pola-pola negatif komunikasi akibat terlampau banyak berpolitik tanpa adab dan akhlak, perbahasan bukan pula pada tempatnya serta gagal menyedari bahawa anak murid pun berhak, cerdas dan bebas berfikir juga.


No comments:

Post a Comment