Sunday, February 14, 2010

Malaysia di bicarakan: Prinsip Keadilan dan Integriti



Pada 1999 sedang suasana negara tegang akibat penahanan dan layanan buruk terhadap Anwar Ibrahim, satu pertemuan telah diadakan dengan S/U Politik Menteri Belia waktu itu. Beliau bekas pimpinan pelajar semasa menuntut di Scotland. Pertemuan itu dihadiri wakil-wakil badan-badan belia Melayu gabungan MBN, Majlis Belia Negeri. Dalam ucapan aluannya, dia meminta badan-badan belia Melayu supaya bertenang dan bersatu dengan menekankan betapa pentingnya perpaduan Melayu supaya dapat menangani keadaan dan terus memimpin khususnya di peringkat belia. Dia juga menerangkan kesatuan itu penting sebagai contoh kepada badan-badan belia non-Muslim dan supaya pimpinan Melayu terus dihormati. Dalam ucapan balas, kita tegaskan bahawa belia Melayu sepatutnya menegakkan kebenaran dan keadilan kerana hanya dengan memperjuangkan prinsip barulah belia non-Muslim akan menghormati kita. Apabila tiba giliran ucapan GPMS maka mereka bidas dengan mengutuk apa yang dinamakan "demonstrasi jalanan" sewaktu itu (sekarang digelar "perhimpunan haram") dan cuba menangkis seruan keadilan yang kita ajukan.

Tidak beberapa lama kemudian, satu lagi pertemuan diadakan dengan SecPol yang sama tetapi kali ini di kalangan rakan-rakan. Katanya ia dalam siri bertemu rakan-rakan. Dalam ucapannya dia melontarkan maklumat bahawa seolah-olah ada kemungkinan Anwar Ibrahim yang sedang menunggu keputusan hukuman perbicaraan April 199 9 akan dibebaskan. Kita menjawab bahawa ini semua hanyalah helah psikologi dalam percubaan mengkondisikan serta menenangkan keresahan rakyat dan juga satu kaedah tinjauan bagi mengukur reaksi orang terhadap apa yang bakal akan berlaku. Maka sekali lagi persoalan pokok iaitu isu prinsip dan masalah keadilan masih tidak dijawab.

Begitulah apabila rakan-rakan yang ingin kekal dalam posisi politik dan dengan keadaan yang mereka nikmati selama itu berhujah dengan alasan strategi politik. Maka seorang ahli usrah memberi komentar pedas bahawa itu sebenarnya "strategi perut". Keenakan dan keselesaan keadaan mewah diperolehi dan dipungut semasa berpolitik di arus perdana sukar untuk dilepaskan walauapapun prinsip dan idealisme asal yang dipegang atau dibawa yang mendorong mereka melangkah ke kancah politik.

Maka begitulah pada babak fitnah kedua juga melibatkan sekali lagi memburukkan dan menghina peribadi Anwar Ibrahim. Rakan-rakan dan agamawan di kalangan penyokong fitnah kedua ini dengan mudah mengatakan bahawa ini semua sebagai permainan politik dan fitnah itu adalah perkara biasa dalam parti. Mereka cuma mahukan Anwar Ibrahim dijatuhkan dan disisihkan daripada arena politik tanah air kerana mereka juga mempunyai agenda besar bagi membangunkan negara dan mempertahankan umat Melayu-Islam. Maka dikaitkan dengan kisah pertarungan Muawiyah dan Ali r.a. **

Ini mengingatkan tentang satu forum perdana bersempena dengan suatu pilihanraya kecil beberapa tahun dahulu. Seorang yang dianggap tokoh agama (sarat dengan kontroversi) berhujah dengan nas bahawa umat Islam wajib mentaati pemerintah walaupun pemerintah itu seorang yang zalim. Hujah ini nampaknya digunakan kerana pada waktu itu pemerintah memang dipandang serong oleh orang ramai. Maka oleh kerana tokoh tersebut bersandarkan nasnya, hal ini menimbulkan tandatanya kepada masyarakat. Namun, semua ini diperbetulkan apabila di suatu program yang lain pertanyaan dilontar kepada Ustaz Dr Wan Salim tentang hal ini. Dr Wan Salim menerangkan betapa penting kefahaman tentang sunnah, fiqh dan memahami maqasid as syariah. Kekeliruan berlaku jika pemahaman tekstual dan kontekstual tidak digarap dengan baik. Katanya dengan mudah bahawa umat Islam mempunyai pilihan sekarang ini iaitu ada calon kepimpinan saingan yang adil dan lebih baik. Maka umat Islam sewajarnya memilih pemimpin yang terbaik di kalangan mereka. Itulah kefahaman fiqh yang jitu dan penyerlahan hikmah. Al hikmah itu senantiasa milik Muslim yang Mu'min.

Gerakan Islam harus mengenengahkan dan menggagaskan politik berintegriti dan mengutamakan keadilan sosial. Integriti dan keadilan sosial tidak harus menjadi concern dan milik golongan demokratik sosial atau liberal-sekularis semata-mata. Jika tidak, model kerajaan tempang yang korup milik Melayu -Islam akan dijaja dan dicanang dengan pelbagai tema tanpa substance. Model rapuh ini akan memberikan imej yang salah terhadap kepimpinan Islam. Rakan-rakan kita perlu ingat kata-kata Anwar Ibrahim apabila ditanya kenapa tidaknya rakan-rakan lain ikut jejak langkahnya bagi membawa perubahan "dari dalam" sekarang. Anwar mengingatkan bahawa ada perbedaannya kerana walaupun boleh bertentangan idea politik, namun prinsip Islam tidak boleh dilanggari dan rakan-rakan tidak boleh dikhianati.


**Nota: berikut catatan ringkas ulasan Sayyid Qutb dalam karyanya Keadilan Sosial dalam Islam:-

Pada zaman khalifah yang rashidin wal mahdiyin, fungsi khalifah adalah pelaksanaan pematuhan kepada keimanan dan hukum Allah s.w.t. ke atas umat Muslim. Tidak terlintas oleh mereka untuk menggunakan kedudukan istimewa ini bagi mengambil peluang dan melakukan penyelewengan. Sebagai contoh ’Ali r.a. tidak mengambil apa-apa langsung daripada khazanah negara tetapi bukan kerana kejahilannya. Dia bertindak demikian kerana sebaik saja seorang itu menjadi pemimpin dia menjadi objek syak wasangka dansekaligus contoh teladan. Dia tidak mahu dilihat oleh rakyat dan para gabenornya sebagai pengaut wang rakyat dan dia ingin menjadi contoh kejujuran dan zuhud. Pemerintahan Islam yang sedang berkembang mekar dan tatacara sosial baru itu memerlukan pengorbanan para pemimpinnya dan kerelaan bersusah payah. Khalifah yang rashidun hidup secara zuhud sehingga pada akhir hayat tidak meninggalkan harta.

Mereka yang inginkan kedudukan dan yang telah biasa dengan keenakan tidak rela dengan peraturan kesaksamaan dan keadilan. Mereka menyertai puak yang bersaing dengan ’Ali kerana di sana mereka berpuashati dengan memijak-mijak kebenaran dan kesedaran. Mereka melihat kelicikan politik pada lawannya yang tiada pada ’Ali. Mereka tersalah apabila meletakan ini sebagai kelebihan yang mengalahkan ’Ali. Mereka gagal memahami ’Ali dan cabaran yang harus dia tangani. Tugas paling besar ‘Ali adalah untuk memugar semula tradisi Islam dan ruh sebenar keimanan serta meruntuhkan hijab yang menyelubungi kelemahan pemerintahan yang materialistik. Jika ‘Ali menyamai lawannya dengan mengenepikan akhlak dan moral maka dia akan gagal dari kacamata keimanan. ‘Ali berkata, “Dia bukanlah lebih pintar daripada aku tetapi dia rela khianat dan ingkar. Kalaulah aku tidak bencikan pengkhianatan, mungkin aku adalah manusia paling pintar.”


No comments:

Post a Comment