Itulah bagi orang-orang fasik yang inginkan sangat dipanah halilintar, mereka suka sangat bersumpah dan sering mencabar susunan serta ketenteraman peradaban masyarakat. Mereka gemar memecahkan suasana aman damai dan harmoni. Mereka kata mereka hanya ingin membawa kebaikan untuk agama, bangsa dan negara. Dentuman hujan batu tidaklah menerjah bumi yang mereka pijak namun fitnah yang dijaja memberanakkan lagi fasad dan mungkar yang berjela-jela.
Segala mambang dan jembalang dijelmakan dengan hantu-hantu raya lama dibela melalui akhbar-akhbar saka berbisa. Pontianak dan langsuyar diupah dan dihantar merata-rata memaki hamun dan mencarut tanpa batas dan hilang hormat diri. Maka segala macam santau dan peleset dikirim melalui utusan pena-pena penulis berpuaka yang memberitakan secara harian. Gerombolan keris mengamuk menggila. Katanya apabila bulan purnama mengambang, lagi meraung kumpulan pemuja ini.
Akibatnya jenuh jiwa dan semangat Melayu dilanyak dan diasak dengan tahyul dan mitos cerita buniyan. Orang Melayu dibuai halimunan dan ditakutkan-takutkan dengan jaruman halus dan tikaman tajam untuk mencurigai jiran, meninggalkan kawan, mengkhianati sahabat, memporak peranda agama, melanggar pantang larang muhibbah dan meninggalkan kebijaksanaan akal.
Fitnah jahat menjadi-jadi bermaharajalela sebagai mentera untuk menghapuskan musuh politik dan memperdayakan umat. Pawang dan bomoh memuntahkan lagi jampi dendam kesumat. Dukun sesat muncul di kalangan pemimpin yang sepatutnya lebih waras dan berilmiah. Alangkah bisa racun ditanam di dalam dada-dada siaran dan kaca-kaca TV. Pengacara media dan askar maya meludahkan santau dan kahak jangkitan pembohongan. Para agamawan rasmi yang mungkin kurang cermat melepaskan tangan, menyimpan diam dan membiarkan poyang dan syaman menabur upas dan menyesatkan lagi masyarakat.
Kaca, miang buluh dan jarum dicucuk sehingga menjerit kesakitan batang tubuh negara yang ingin bebas dan terlepas daripada rasukan histeria penguasa gila kuasa yang melepaskan gerombolan penyebar naba' fasik - berita jahat. Sihir gila dinamakan propaganda lebih dahsyat daripada ilmu hitam segenap nusa. Katanya ada sang penunggu tua mahawangsa di sebuah menara yang merancang dan mengatur kejahatan ini semua.
Tiada yang terselamat dari sentuhan khurafat dan usaha toyol-toyol merosakkan dan mengelabui umat dengan tuduhan kesat dan tayangan lucah. Tidak cukup dengan itu, Cina dan Nasrani pun dituduh secara merasuk dan meracau.
Maka si fasik masih bersumpah merasa senang hati tiada disambar petir dan kilat. Hanya umat merana kerana alah bisa yang tak berubat hinggalah akhir padahnya.
Siapalah yang akan menjunjung panduan kebenaran dan membawa ayat-ayat syifa bagi penawar memulihkan keruntuhan jatidiri bangsa dan menyelamatkan negara?
No comments:
Post a Comment