Thursday, March 24, 2011

Sandiwara Insan




P Ramlee telah berkata supaya jangan mengguna dadu lebih`tiga kali dalam adegan filem Ali Baba Bujang Lapok. Lebih daripada tiga akan berlaku pecah tembelang. Segala kelentong dan temberang akan terdedah. Begitulah jenaka dan seloroh tentang pembohongan Ali Baba dan perompak jalanan.

Ketiga-tiga dato' yang membikin video lucah di hotel warisan kemegahan penjajah Carcosa Seri Negara semacam tidak sedar petua penipuan Ali Baba dan angkatan penyamun tarbusnya. Maka ketiga-tiga dato' menerima pelbagai kecaman dan hamunan hinggalah ke akhir mereka nanti di langit dan di bumi, melalui pesanan ringkas sampai ke alam maya. Mereka dikutuk sebagai bermoral rendah, paedophile, peniaga korup dan penganjur pertubuhan rasis. Begitulah kebencian orang kepada ahli maksiat dan kebejatan.

Iras dan wajah banyak persamaan ibarat pelanduk dua serupa. Muka si Dato' pun menimbulkan serba satu andaian. Mungkin itulah hikmah shariah mensyaratkan kesaksian empat orang adil bukan kecurian percikan DNA, belitan CCTV atau manipulasi forensik perubatan.


Tidakkah mereka sedar atau ingat bahawa umat Islam tidak akan menerima berita atau keterangan atau saksi daripada orang fasik. Ini ingatan kitab suci al Qur'an. Orang jahat tidak ada tempat di sanubari orang beriman.


Mereka mengaibkan orang dan terlupa tentang perumpamaan seolah-olah mereka memakan daging saudara mereka sendiri. Betapa buruknya perbuatan.


Mereka menghina orang, keluarganya serta masyarakat dan tidak sedar bahawa manusia ada karamah kemuliaan insan. Rasulullah s.a.w. berpesan pada khutbah perpisahannya menyeru umat memelihara darah dan kehormatan sesama insan.


Mereka ingat dosa yang mereka lakukan itu kecil tetapi lupa betapa besarnya ia di sisi Allah s.w.t. serta pasti menerima balasan.


Marilah kita pesan memesan supaya berpegang teguh kepada iman dan ihsan.


Dengan cahaya iman kita tidak akan terpedaya dengan sandiwara insan.


No comments:

Post a Comment