Showing posts with label Carcosa Seri Negara. Show all posts
Showing posts with label Carcosa Seri Negara. Show all posts

Thursday, March 31, 2011

Harussani: Saya tak membisu, saya kecam video aib Anwar


Tan Sri Harussani Zakaria menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau hanya berdiam diri dan tidak bersuara berhubung pendedahan rakaman video yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Mufti Perak itu menegaskan, sejak rakaman video itu didedahkan awal minggu lalu beliau telah mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan pendedahan itu telah mengaibkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR kerana ia belum dibuktikan kebenarannya.

“Siapa kata saya tidak bersuara? Siapa kata saya tidak ada cakap apa? Sejak hari pertama lagi saya sudah bercakap mengenai perkara ini dan bagi saya rakaman video itu telah mengaibkan Anwar kerana tidak saksi yang boleh buktikan. “Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja, mereka tidak keluarkan secara keseluruhan apa yang saya katakan... yang tertulis ia (video seks) hanya fitnah, itu sahaja... yang lain-lain tidak keluar,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kata Harussani, rakaman video itu boleh dianggap sebagai fitnah dan dosa besar kerana hukuman telah dijatuhkan terlebih dahulu terhadap Anwar tanpa bukti yang sahih. “Kita buka rahsia orang ini adalah haram, benda yang tidak betul tapi didedahkan adalah satu fitnah, dosa besar dan tidak bermoral. “Rakaman video itu betulkah Anwar? Laporan juga belum dapat dipastikan lagi... ini adalah fitnah dan dosa besar,” katanya.

Awal minggu ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin agama sebagai “syaitan bisu” kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak bersuara dalam isu fitnah moral terbaru yang ditujukan ke atas Anwar itu. Menurut Hadi, sikap pemimpin agama yang enggan memberikan sebarang respons terhadap pendedahan rakaman video oleh “Datuk T” awal minggu lalu amat dikesali.

Tiga Datuk T iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim — mengakui bertanggungjawab membuat pendedahan tersebut. Ketiga-tiga individu tersebut terlebih dahulu menayangkan rakaman video itu kepada media di Carcosa Seri Negara .

Menurut Harussani, rakaman video itu tidak boleh dijadikan sebagai bukti. Ini kerana, jelas beliau, menurut perundangan Islam mana-mana jenayah yang membabitkan seks perlu mempunyai empat orang adil yang menyaksikan peristiwa itu berlaku termasuk perbuatan zina.

“Yang dilihat dalam rakaman video itu tidak boleh pakai, ia tidak boleh dijadikan bukti kerana ia boleh diubah atau dimanipulasikan. “Kalau nak jatuhkan hukuman kita kena ada empat saksi yang benar-benar lihat dengan mata sendiri peristiwa itu berlaku bukan melalui gambar atau video. Kalau bawa ke mahkamah, video itu tetap tidak boleh dijadikan bukti kerana ia hanya rakaman dan menurut hukum syarak tetap kena ada empat saksi dan kalau tidak kita tidak boleh nak jatuhkan hukuman,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya tetap berpendirian Anwar tidak boleh dituduh terlibat pelakuan tersebut kerana tiada saksi yang menyaksikan ia berlaku. “Dalam soal jenayah seksual Islam menetapkan saksi empat mata dan rakaman tidak boleh dijadikan bukti, di sudut Islam kena ada empat saksi yang lihat peristiwa itu berlaku.

“Tetap kena ada empat saksi hidup yang tengok ia berlaku, kalau tiada atau tidak cukup sebagai contoh hanya tiga mereka kena hukum qazaf (tuduhan zina) kerana menuduh orang lain,” katanya. Menurut beliau, rakaman video yang didakwa milik “Datuk T” tidak boleh dijadikan bahan bukti.

“Rakaman sama sekali tidak boleh dalam jenayah seksual dalam Islam, tetap perlu ada empat saksi dan orang yang jadi saksi juga perlu individu yang berkredibiliti dan tidak akan menukar pandangan mereka. “Kita tidak boleh ikut rakaman sebab itu dalam Islam hukuman jenayah seksual ini berat dan syarat untuk jatuhkan hukuman juga berat,” katanya.

Tambah Juanda, individu yang membuat pendedahan rakaman video itu sepatutnya disiasat terlebih dahulu. “Yang pertama sebarkan benda lucah orang itu yang harus disiasat dulu, tiada undang-undang atau agama yang membenarkan ia dipertontonkan kepada khalayak. “Sepatutnya bila dapat rakaman itu mereka kena serahkan kepada polis bukan dedahkan kepada umum,” katanya. Beliau juga menggesa agar semua pihak termasuk parti politik agar menghentikan tuduhan yang bersifat peribadi. “Tuduhan seperti ini baik di pihak parti politik mana pun kena elakkan tuduh dalam jenayah seksual, tuduhan seperti ini patut dihentikan,” katanya.

Malaysian Insider, KUALA LUMPUR, 31 Mac

Thursday, March 24, 2011

Sandiwara Insan




P Ramlee telah berkata supaya jangan mengguna dadu lebih`tiga kali dalam adegan filem Ali Baba Bujang Lapok. Lebih daripada tiga akan berlaku pecah tembelang. Segala kelentong dan temberang akan terdedah. Begitulah jenaka dan seloroh tentang pembohongan Ali Baba dan perompak jalanan.

Ketiga-tiga dato' yang membikin video lucah di hotel warisan kemegahan penjajah Carcosa Seri Negara semacam tidak sedar petua penipuan Ali Baba dan angkatan penyamun tarbusnya. Maka ketiga-tiga dato' menerima pelbagai kecaman dan hamunan hinggalah ke akhir mereka nanti di langit dan di bumi, melalui pesanan ringkas sampai ke alam maya. Mereka dikutuk sebagai bermoral rendah, paedophile, peniaga korup dan penganjur pertubuhan rasis. Begitulah kebencian orang kepada ahli maksiat dan kebejatan.

Iras dan wajah banyak persamaan ibarat pelanduk dua serupa. Muka si Dato' pun menimbulkan serba satu andaian. Mungkin itulah hikmah shariah mensyaratkan kesaksian empat orang adil bukan kecurian percikan DNA, belitan CCTV atau manipulasi forensik perubatan.


Tidakkah mereka sedar atau ingat bahawa umat Islam tidak akan menerima berita atau keterangan atau saksi daripada orang fasik. Ini ingatan kitab suci al Qur'an. Orang jahat tidak ada tempat di sanubari orang beriman.


Mereka mengaibkan orang dan terlupa tentang perumpamaan seolah-olah mereka memakan daging saudara mereka sendiri. Betapa buruknya perbuatan.


Mereka menghina orang, keluarganya serta masyarakat dan tidak sedar bahawa manusia ada karamah kemuliaan insan. Rasulullah s.a.w. berpesan pada khutbah perpisahannya menyeru umat memelihara darah dan kehormatan sesama insan.


Mereka ingat dosa yang mereka lakukan itu kecil tetapi lupa betapa besarnya ia di sisi Allah s.w.t. serta pasti menerima balasan.


Marilah kita pesan memesan supaya berpegang teguh kepada iman dan ihsan.


Dengan cahaya iman kita tidak akan terpedaya dengan sandiwara insan.