Friday, April 19, 2013

Apabila Ilmu ditundukkan oleh Kuasa



Pada tahun 2010, sewaktu dalam perjalanan bersama, anak lelaki bongsu saya yang pada masa itu berumur 15 tahun bertanyakan soalan. Dia bertanya samada Profesor Yusuf Qaradawi  telah bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Agama JPM apabila Prof Qaradawi berada di Malaysia. Saya menjawab sudah tentu dia berjumpa kerana ada berita bahawa dia mengunjungi Menteri berkenaan dan PM kerana Profesor Qaradawi penerima anugerah  Maal Hijrah negara. Anak saya bertanya lagi samada Profesor Qaradawi telah membangkitkan isu Fitnah II kepada menteri tersebut. Saya menjawab sudah tentu dia menyatakan rasa prihatinnya, memberi pandangan dan nasihat serta tegurannya tentang hal itu.  Anak saya bertanyakan apa jawapan menteri. Saya kata bahawa kita hanya boleh mengagak secara andaian menteri akan menjawab bahawa dia tidak terlibat secara peribadi dalam kes berkenaan dan hal itu urusan mahkamah, oleh itu diserahkan kepada keputusan mahkamah. Anak saya berhujah pula mengatakan oleh kerana menteri berkenaan seorang yang berpengetahuan agama, sepatutnya dia mengambil tindakan yang betul dan sewajarnya menentang Fitnah II.

Saya terpaksa mengatakan kepadanya bahawa ilmu pengetahuan bukanlah penentu segala-segalanya terutama apabila ilmu ditundukkan oleh kuasa dan ditentukan oleh kepentingan-kepentingan. Begitulah anak saya yang kadangkala mempersoalkan kenapa mufti-mufti tidak berbuat begini dan begitu tentang isu-isu besar umat. Anak saya cukup menyanjungi, menghormati dan memandang tinggi guru-guru dan ulama', dan inilah sifat yang sepatutnya kepadanya. Tetapi hakikat dan realiti sangat mencabar. Kita berdoalah dan berharap supaya anak-anak kita beristiqamah dengan agama dan tetap rasa hormat kepada ilmu dan para ilmuwan.

Pada tahun  1999, seorang rakan senior berjawatan arkitek di sebelah utara, bertanya kepada seorang ahli jawatankuasa fatwa yang juga rakan kenalannya.  Dia bertanya kenapa ahli-ahli yang menganggotai satu badan yang penting dan berpengaruh tidak mengambil pendirian apabila fitnah pertama melanda terutama babak-babak yang sangat memalukan dan menghinakan umat. Rakan alimnya menjawab secara terus terang bahawa mereka bukan pejuang, mereka memutuskan persoalan fiqh, kerana katanya pejuang itulah yang berada di dalam penjara Sg Buluh. Memiliki ilmu dan bertindak serta beramal dengannya adalah ujian dan mehnah besar kepada pemiliknya serta semua orang tanpa ada pengecualian.

Jadi tibalah masa apabila sekumpulan guru-guru agama dan pendidik-pendidik yang jujur diintimidasi, digertak oleh pentadbir-pentadbir kerana dilihat membuat program-program seperti tadhkirah yang dianggap mengancam serta tidak seiring dan tidak serasi dengan regim penguasa yang ada. Tiba-tiba, orang-orang yang berilmu, berbudi luhur dan berniat baik diuji dengan ujian yang amat berat ke atas tasawur hidup mereka dengan diintimidasi melalui tekanan dan tindakan pentadbiran. Sewaktu itu, semua tersentap dan bagaikan menyedari makna sebenar dan nilai tadhkirah, ia bukanlah pengsian kosong atau wacana cetek, hanya bertujuan untuk penyampaian sehala kepada pendengar yang pasif. Tadhkirah dan kerja da'wah yang seumpamanya terpaksa mengharungi serta berdepan dengan penentangan dan perseteruan. Peristiwa dan kejadian sebegini bakal membentuk pandangan hidup dan wacana pemikiran, apabila kesusahan material, laluan kerjaya dan peluang pangkat dipapar dan dijuntai oleh para pentadbir berautoriti. Pentadbir merasakan seolah-olah mereka mempunyai kuasa ke atas manusia lain dan mampu menentu nasib serta rezeki. Betapa jauh dan melesetnya ini daripada kebenaran. Adakah fasad dan kemungkaran telah mencapai tahap yang begitu parah sehinggakan orang baik-baik dipaksa tunduk dan menyerah diri serta memadamkan cahaya murni keilmuan mereka menurut kehendak mereka yang berkuasa?

Begitulah anak-anak saya yang lain terpaksa melalui pelbagai percubaan penguasaan minda sewaktu di latihan khidmat negara dan di universiti, di kutuk dan dimomokkan orang-orang, pertubuhan dan pimpinan yang terkenal baik dan mulia, sebaliknya dijulang tinggi pula orang-orang curiga dan pimpinan yang tidak sepatutnya, ditanamkan pemikiran sempit rasa permusuhan, kebencian dan kefanatikan bangsa dan diselitkan ancaman kerjaya,  penempatan -posting dan penentuan nasib diri. Paling malang adalah mereka sebagai manusia bebas, warga bermaruah dan golongan yang berpelajaran tinggi di institut pengajian terpaksa mengalami propaganda saraf, fenomena ilmu dan kebenaran ditundukkan oleh kuasa.

Anak - anak akan mengadu tentang percanggahan nilai ini kepada kita kerana mereka mempunyai idealisme tentang kebenaran dan keadilan menurut asuhan pendidikan awal, pendedahan, tahap dan kefahaman mereka. Kita cuma boleh nasihat bahawa perasaan takut itu tidak ada masalah kerana seperti mana pengalaman mereka semasa kecil, mereka merasa takut kepada kegelapan serta perkara-perkara begitu. Tetapi untuk menganggap pentadbir atau penguasa mempunyai kuasa ke atas penentuan nasib dan rezeki adalah salah dan batil samasekali. Kebatilan ini perlu ditentang dan ditolak menurut daya dan kemampuan selari dengan anjuran agama.

Kita berharap anak-anak kita tidaklah terpaksa melalui pancaroba di mana kejahatan itu dijulang dan kebaikan ditindas secara sedar dan terang-terangan. Jika ini berlaku maka kita sendiri telah menjahanamkan generasi masa depan kita. 

No comments:

Post a Comment