Sunday, April 21, 2013

Politik Luhur atau Politik Mentah




Kiasan

Kita mulakan dengan kisah penglipur lara Sufi pada zaman dahulu. Pada suatu hari, Mulla Nasruddin seorang ahli tasauf terkenal kelihatan berada di halaman luar rumahnya mencari-cari sesuatu. Muridnya yang ternampak Mulla Nasruddin turut bertinggung bertujuan untuk membantunya. Si murid bertanya, "Apa yang Mulla cari?". Mulla menjawab, "Aku mencari kunci." Murid bertanya lagi, "Di mana Mulla hilang kunci ini?" Mulla berkata, "Di dalam rumah." Murid berasa hairan, "Kenapa tidak mencarinya di dalam rumah?". Mulla dengan selamba berkata, "Di luar ini lebih cerah."

Mengambil kiasan ini, jika kita menjuruskan terus kepada kenyataan bahawa tujuan disebarkan video aib dan ulasan-ulasan sokongan penyebarannya bukanlah bertujuan baik  ataupun jauh sekali mulia tetapi untuk mengisytiharkan bahawa Anwar Ibrahim tidak layak menjadi pemimpin sekaligus menjadikan ini isu politik partisan. Tuduhan ini dan segala fitnah seibaratnya tidak akan diangkat selagi matlamat realpolitik – politik mentah-  ini tidak tercapai walauapapun hujah agama, moral, legal, universal  atau peri kemanusiaan digunakan untuk menentang dan membantahnya.

Oleh itu, kenapalah ada profesor, tokoh anugerah agama, tokoh akademik ahli tasauf atau bekas pengikut kanan tarikat, bekas pemimpin tersohor pergerakan pelajar  dan belia Islam masih ingin meranduk dan berlumpur di kubang jenayah dan dosa besar yang selayaknya menjadi kumbahan geng trio Datuk T, Papagomo,  sang penibai, sang penghilai dan karakter seumpamanya? Bukankah amsal daripada Sunnah  telah lama diingatkan supaya menjauhi tukang besi tetapi menghampir penjual minyak wangi?  Kenapa mengambil saksi fasik sambil mendabik dada, mempromosikan orang tidak bermoral, berpakat dengan orang jahat dan menghalalkan matlamat yang jelek? Kenapa relakan rasuah, mendokong yang korup dan menjadi alat perasuah?  Matlamat realpolitik begini adalah semata-mata singkat, temporal, sementara dan di dunia saja. Kesannya dan balasannya adalah abada – selama-lamanya.


Jenayah - Peringatan Kesekian Kalinya

Adapun jenayah zina melibatkan kesalahan kehormatan, maruah dan peribadi individu. Oleh itu, sebelum pertuduhan boleh dibuat, empat saksi perlu dihadirkan supaya tiada pencabulan diri, penyelewengan undang-undang atau kezaliman berlaku kepada hak, kehormatan, maruah dan peribadi Muslim dan Musiimah. Tidak ada kompromi. Ini pegangan ahli fiqh salaf dan khalaf, mereka tidak menerima keterangan-keterangan lain kerana mereka masih mementingkan pemeliharaan  kemuliaan individu dan kesejahteraan masyarakat. Tidak boleh tuduhan melulu atau percubaan sebarang keraguan. Bukan boleh bermain dengan sumpah atau menggunakan circumstantial evidence. Inilah yang diterangkan dalam surah-surah  al hujurat dan al nur. Kita diingatkan supaya jangan menerima pemberitaan orang-orang fasik. Kita diingatkan supaya jangan tuduh menuduh, kata-mengata, umpat mengumpat dan tidak intip-mengintip. Kita diingatkan supaya meminta kehadiran empat orang saksi jika ada tuduhan zina dan jika tidak dapat dihadirkan, maka kita diperintah mengatakan bahawa ini tuduhan pembohongan yang besar dan nyata. Kemudian sesiapa yang menuduh dengan tiada saksi-saksi ini dikenakan hukuman qazaf. Hukumannya adalah sebatan bagi menunjukkan betapa besar dosa ini. Keterangan dan kesaksian mereka ditolak selama-lamanya menurut ulama kecuali bertaubat. Ini adalah ajaran Islam.


Isu sebenar

Isu sebenar adalah isu keadilan. Jika Anwar Ibrahim secara jujur dirasakan tidak sesuai atau layak diangkat sebagai pemmpin negara, maka gunakanlah hujah politik luhur dan strategi politik yang tinggi, adil dan saksama. Berdebatlah secara terbuka, beretika dan sihat dengannya tentang isu-isu kenegaraan, wawasan dan perancangan masa depan. Cubalah secara waras  dengan fakta bahaskan dasar-dasar, program-program dan pandangan-pandangannya tentang Islam, Melayu, pembangunan, ekonomi, pendidikan, keadilan, kemiskinan, nasib rakyat, integriti, penyatuan, perpaduan, masa depan negara dan lain-lain seluasnya. Kempen selebar mungkin, analisa setiap ucapannya, libatserta dan cabar - engage and challenge,  dan cubalah yakinkan penyokong-penyokongnya. Tetapi jika politik dan kuasa digunakan dengan cara yang tidak adil maka inilah angkaranya sehingga fitnah yang jahat dan nyata pun ingin dipertahankan lalu panduan agama serta pendirian moral yang jelas juga dipertikaikan secara partisan yang serong dan sempit. Bayangkan masa depan negara dan nasib generasi era ini serta maruah warga pada masa depan jika politik mentah terus berkuasa.

Kita perlu sedar bahawa surah al nur juga mengingatkan berulang kali bahawa jika bukan kerana rahmat Allah swt ke atas kita semua nescaya telah lama diazab kerana fitnah besar sebegini.


No comments:

Post a Comment