Pada tahun 2010, sewaktu dalam perjalanan bersama, anak
lelaki bongsu saya yang pada masa itu berumur 15 tahun bertanyakan soalan. Dia
bertanya samada Profesor Yusuf Qaradawi telah bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Agama
JPM apabila Prof Qaradawi berada di Malaysia. Saya menjawab sudah tentu dia
berjumpa kerana ada berita bahawa dia mengunjungi Menteri berkenaan dan PM
kerana Profesor Qaradawi penerima anugerah Maal Hijrah negara. Anak saya bertanya lagi
samada Profesor Qaradawi telah membangkitkan isu Fitnah II kepada menteri
tersebut. Saya menjawab sudah tentu dia menyatakan rasa prihatinnya, memberi pandangan
dan nasihat serta tegurannya tentang hal itu. Anak saya bertanyakan apa jawapan menteri.
Saya kata bahawa kita hanya boleh mengagak secara andaian menteri akan menjawab
bahawa dia tidak terlibat secara peribadi dalam kes berkenaan dan hal itu
urusan mahkamah, oleh itu diserahkan kepada keputusan mahkamah. Anak saya
berhujah pula mengatakan oleh kerana menteri berkenaan seorang yang berpengetahuan
agama, sepatutnya dia mengambil tindakan yang betul dan sewajarnya menentang
Fitnah II.
Saya terpaksa mengatakan kepadanya bahawa ilmu pengetahuan
bukanlah penentu segala-segalanya terutama apabila ilmu ditundukkan oleh kuasa
dan ditentukan oleh kepentingan-kepentingan. Begitulah anak saya yang
kadangkala mempersoalkan kenapa mufti-mufti tidak berbuat begini dan begitu
tentang isu-isu besar umat. Anak saya cukup menyanjungi, menghormati dan
memandang tinggi guru-guru dan ulama', dan inilah sifat yang sepatutnya
kepadanya. Tetapi hakikat dan realiti sangat mencabar. Kita berdoalah dan
berharap supaya anak-anak kita beristiqamah dengan agama dan tetap rasa hormat
kepada ilmu dan para ilmuwan.
Pada tahun 1999, seorang
rakan senior berjawatan arkitek di sebelah utara, bertanya kepada seorang ahli
jawatankuasa fatwa yang juga rakan kenalannya.
Dia bertanya kenapa ahli-ahli yang menganggotai satu badan yang penting
dan berpengaruh tidak mengambil pendirian apabila fitnah pertama melanda
terutama babak-babak yang sangat memalukan dan menghinakan umat. Rakan alimnya
menjawab secara terus terang bahawa mereka bukan pejuang, mereka memutuskan
persoalan fiqh, kerana katanya
pejuang itulah yang berada di dalam penjara Sg Buluh. Memiliki ilmu dan
bertindak serta beramal dengannya adalah ujian dan mehnah besar kepada
pemiliknya serta semua orang tanpa ada pengecualian.
Jadi tibalah masa apabila sekumpulan guru-guru agama dan
pendidik-pendidik yang jujur diintimidasi, digertak oleh pentadbir-pentadbir
kerana dilihat membuat program-program seperti tadhkirah yang dianggap
mengancam serta tidak seiring dan tidak serasi dengan regim penguasa yang ada.
Tiba-tiba, orang-orang yang berilmu, berbudi luhur dan berniat baik diuji
dengan ujian yang amat berat ke atas tasawur hidup mereka dengan diintimidasi
melalui tekanan dan tindakan pentadbiran. Sewaktu itu, semua tersentap dan bagaikan
menyedari makna sebenar dan nilai tadhkirah, ia bukanlah pengsian kosong atau wacana
cetek, hanya bertujuan untuk penyampaian sehala kepada pendengar yang pasif.
Tadhkirah dan kerja da'wah yang seumpamanya terpaksa mengharungi serta berdepan
dengan penentangan dan perseteruan. Peristiwa dan kejadian sebegini bakal
membentuk pandangan hidup dan wacana pemikiran, apabila kesusahan material,
laluan kerjaya dan peluang pangkat dipapar dan dijuntai oleh para pentadbir
berautoriti. Pentadbir merasakan seolah-olah mereka mempunyai kuasa ke atas
manusia lain dan mampu menentu nasib serta rezeki. Betapa jauh dan melesetnya ini
daripada kebenaran. Adakah fasad dan kemungkaran telah mencapai tahap yang
begitu parah sehinggakan orang baik-baik dipaksa tunduk dan menyerah diri serta
memadamkan cahaya murni keilmuan mereka menurut kehendak mereka yang berkuasa?
Begitulah anak-anak saya yang lain terpaksa melalui pelbagai
percubaan penguasaan minda sewaktu di latihan khidmat negara dan di universiti,
di kutuk dan dimomokkan orang-orang, pertubuhan dan pimpinan yang terkenal baik
dan mulia, sebaliknya dijulang tinggi pula orang-orang curiga dan pimpinan yang
tidak sepatutnya, ditanamkan pemikiran sempit rasa permusuhan, kebencian dan
kefanatikan bangsa dan diselitkan ancaman kerjaya, penempatan -posting dan penentuan nasib diri. Paling malang adalah mereka sebagai
manusia bebas, warga bermaruah dan golongan yang berpelajaran tinggi di
institut pengajian terpaksa mengalami propaganda saraf, fenomena ilmu dan
kebenaran ditundukkan oleh kuasa.
Anak - anak akan mengadu tentang percanggahan nilai ini kepada
kita kerana mereka mempunyai idealisme tentang kebenaran dan keadilan menurut asuhan
pendidikan awal, pendedahan, tahap dan kefahaman mereka. Kita cuma boleh
nasihat bahawa perasaan takut itu tidak ada masalah kerana seperti mana
pengalaman mereka semasa kecil, mereka merasa takut kepada kegelapan serta
perkara-perkara begitu. Tetapi untuk menganggap pentadbir atau penguasa
mempunyai kuasa ke atas penentuan nasib dan rezeki adalah salah dan batil
samasekali. Kebatilan ini perlu ditentang dan ditolak menurut daya dan
kemampuan selari dengan anjuran agama.
Kita berharap anak-anak kita tidaklah terpaksa melalui
pancaroba di mana kejahatan itu dijulang dan kebaikan ditindas secara sedar dan
terang-terangan. Jika ini berlaku maka kita sendiri telah menjahanamkan
generasi masa depan kita.
No comments:
Post a Comment