Kiasan
Kita mulakan dengan kisah
penglipur lara Sufi pada zaman dahulu. Pada suatu hari, Mulla Nasruddin seorang
ahli tasauf terkenal kelihatan berada di halaman luar rumahnya mencari-cari
sesuatu. Muridnya yang ternampak Mulla Nasruddin turut bertinggung bertujuan
untuk membantunya. Si murid bertanya, "Apa yang Mulla cari?". Mulla
menjawab, "Aku mencari kunci." Murid bertanya lagi, "Di mana
Mulla hilang kunci ini?" Mulla berkata, "Di dalam rumah." Murid
berasa hairan, "Kenapa tidak mencarinya di dalam rumah?". Mulla
dengan selamba berkata, "Di luar ini lebih cerah."
Mengambil kiasan ini, jika kita
menjuruskan terus kepada kenyataan bahawa tujuan disebarkan video aib dan
ulasan-ulasan sokongan penyebarannya bukanlah bertujuan baik ataupun jauh sekali mulia tetapi untuk
mengisytiharkan bahawa Anwar Ibrahim tidak layak menjadi pemimpin sekaligus
menjadikan ini isu politik partisan. Tuduhan ini dan segala fitnah seibaratnya tidak
akan diangkat selagi matlamat realpolitik
– politik mentah- ini tidak tercapai
walauapapun hujah agama, moral, legal, universal atau peri kemanusiaan digunakan untuk menentang
dan membantahnya.
Oleh itu, kenapalah ada profesor,
tokoh anugerah agama, tokoh akademik ahli tasauf atau bekas pengikut kanan tarikat,
bekas pemimpin tersohor pergerakan pelajar
dan belia Islam masih ingin meranduk dan berlumpur di kubang jenayah dan
dosa besar yang selayaknya menjadi kumbahan geng trio Datuk T, Papagomo, sang penibai, sang penghilai dan karakter
seumpamanya? Bukankah amsal daripada Sunnah
telah lama diingatkan supaya menjauhi
tukang besi tetapi menghampir penjual minyak wangi? Kenapa mengambil saksi fasik sambil mendabik
dada, mempromosikan orang tidak bermoral, berpakat dengan orang jahat dan
menghalalkan matlamat yang jelek? Kenapa relakan rasuah, mendokong yang korup
dan menjadi alat perasuah? Matlamat
realpolitik begini adalah semata-mata singkat, temporal, sementara dan di dunia
saja. Kesannya dan balasannya adalah abada
– selama-lamanya.
Jenayah - Peringatan Kesekian Kalinya
Adapun jenayah zina melibatkan
kesalahan kehormatan, maruah dan peribadi individu. Oleh itu, sebelum
pertuduhan boleh dibuat, empat saksi perlu dihadirkan supaya tiada pencabulan
diri, penyelewengan undang-undang atau kezaliman berlaku kepada hak,
kehormatan, maruah dan peribadi Muslim dan Musiimah. Tidak ada kompromi. Ini
pegangan ahli fiqh salaf dan khalaf, mereka tidak menerima
keterangan-keterangan lain kerana mereka masih mementingkan pemeliharaan kemuliaan individu dan kesejahteraan
masyarakat. Tidak boleh tuduhan melulu atau percubaan sebarang keraguan. Bukan boleh
bermain dengan sumpah atau menggunakan circumstantial
evidence. Inilah yang diterangkan dalam surah-surah al
hujurat dan al nur. Kita
diingatkan supaya jangan menerima pemberitaan orang-orang fasik. Kita
diingatkan supaya jangan tuduh menuduh, kata-mengata, umpat mengumpat dan tidak
intip-mengintip. Kita diingatkan supaya meminta kehadiran empat orang saksi
jika ada tuduhan zina dan jika tidak dapat dihadirkan, maka kita diperintah
mengatakan bahawa ini tuduhan pembohongan yang besar dan nyata. Kemudian
sesiapa yang menuduh dengan tiada saksi-saksi ini dikenakan hukuman qazaf. Hukumannya
adalah sebatan bagi menunjukkan betapa besar dosa ini. Keterangan dan kesaksian
mereka ditolak selama-lamanya menurut ulama kecuali bertaubat. Ini adalah
ajaran Islam.
Isu sebenar
Isu sebenar adalah isu keadilan.
Jika Anwar Ibrahim secara jujur dirasakan tidak sesuai atau layak diangkat
sebagai pemmpin negara, maka gunakanlah hujah politik luhur dan strategi
politik yang tinggi, adil dan saksama. Berdebatlah secara terbuka, beretika dan
sihat dengannya tentang isu-isu kenegaraan, wawasan dan perancangan masa depan.
Cubalah secara waras dengan fakta bahaskan
dasar-dasar, program-program dan pandangan-pandangannya tentang Islam, Melayu,
pembangunan, ekonomi, pendidikan, keadilan, kemiskinan, nasib rakyat,
integriti, penyatuan, perpaduan, masa depan negara dan lain-lain seluasnya.
Kempen selebar mungkin, analisa setiap ucapannya, libatserta dan cabar - engage and challenge, dan cubalah yakinkan penyokong-penyokongnya.
Tetapi jika politik dan kuasa digunakan dengan cara yang tidak adil maka inilah
angkaranya sehingga fitnah yang jahat dan nyata pun ingin dipertahankan lalu
panduan agama serta pendirian moral yang jelas juga dipertikaikan secara
partisan yang serong dan sempit. Bayangkan masa depan negara dan nasib generasi
era ini serta maruah warga pada masa depan jika politik mentah terus berkuasa.
Kita perlu sedar bahawa surah al nur juga mengingatkan berulang kali bahawa jika
bukan kerana rahmat Allah swt ke atas kita semua nescaya telah lama diazab kerana
fitnah besar sebegini.
No comments:
Post a Comment